oleh

Lelaki bergaji RM3.5K terpaksa buat tiga kerja sebab nak bayar ansuran bulanan rumah RM1,000

Setiap orang mempunyai berbeza-beza keperluan di dalam kehidupan. Namun, orang ramai dilihat menekankan untuk memiliki rumah sendiri apabila sudah menjejak usia dewasa.

Ditambah pula dengan harga hartanah yang melambung pada saban hari telah memaksa sesetengah individu untuk membuat pembelian mengejut tanpa berfikiran rasional. Kesilapan membuat keputusan kewangan sudah pasti akan memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Baru-baru ini, seorang individu di platform X telah berkongsi tentang kenalan rapatnya yang mengalami isu kewangan ekoran terbeban dengan deposit bulanan selepas pembelian rumah.

Lebih mengejutkan, kenalannya terpaksa mengambil tiga kerja sekaligus hanya untuk menyara diri. Pemuda itu dikatakan memiliki gaji sekitar RM3,500 daripada pekerjaan utamanya, tetapi sebaik sahaja gaji diterima RM1,000 akan didepositkan untuk pinjaman rumahnya.

Difahamkan gaji hakiki kenalan itu masih belum ditolak dengan potongan EPF, Socso sekaligus memberi gambaran gaji bersihnya mungkin sekitar RM3,000 sahaja.

“Selain kerja hakiki, dia terpaksa melakukan bisnes dropship dan Grab untuk memenuhi pembiayaan kehidupan bulanan,” tulisnya di X.

Lelaki itu mendakwa kewangan kenalan terbabit telah terjejas teruk sebaik menerima kunci rumah idaman.

Dalam pada itu, kenalan lelaki itu menyedari dengan ciapan terbabit dan memaklumkan dia masih boleh meneruskan kehidupan walaupun perlu berkerja keras dengan mengambil kerja tambahan lain.